Loading...

Gadai Nyawa Lalui Jambatan Reput Tiap Hari


Hampir 1,000 penduduk Orang Asli beberapa kampung sekitar Pos Balar di Gua Musang, terpaksa bergadai nyawa melalui jambatan kayu reput setiap hari.
Selain mereka, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Balar turut terpaksa melalui jambatan itu dan kerap juga berlaku kenderaan pacuan empat roda mereka hampir terjatuh ke dalam sungai.
Penghulu Orang Asli Pos Balar, Alek Busu, 57, berkata, ada tiga jambatan kayu reput sepanjang jalan perhubungan di antara bandar ini ke Pos Balar.
Dia berkata, kesemua jambatan itu juga dibina secara gotong-royong oleh penduduk sebagai perhubungan sementara sejak tiga bulan lalu.
Bagaimanapun, katanya, jambatan terbabit sehingga sekarang masih uzur dan merbahaya untuk laluan sebarang kenderaan.
“Kami sedih dengan sikap pemimpin dan jabatan kerajaan yang tidak mempedulikan segala aduan berhubung masalah dihadapi penduduk.
“Keadaan paling membimbangkan keselamatan penduduk Orang Asli dan guru SK Balar yang melalui jambatan uzur itu setiap hari,” dakwanya di sini, hari ini.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Balar, Osman Anjang, 43, berkata guru sekolah terbabit kerap berdepan kejadian mencemaskan apabila melalui jambatan terbabit.
Katanya, ini kerana kenderaan mereka hampir terjatuh ke sungai kerana lantai kayu reput jambatan terbabit patah.
“Ada masanya guru terpaksa meminta bantuan penduduk kampung untuk menarik kenderaan mereka yang berdepan masalah di atas jambatan itu, selain membaiki keadaan laluan itu,” katanya.
Dia berkata, ketika hujan musim tengkujuh November dan Disember lalu jalan ke Pos Balar rosak teruk hingga langsung tidak boleh dilalui penduduk.
“Kini jambatan pula hampir roboh kerana kayu reput dan kami mohon kerajaan supaya bertindak membaikinya dengan segera,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Loading...
Loading...

Post a Comment

0 Comments